Thursday, April 29, 2010

e-pembelajaran@UTM dengan MOODLE

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan penggunaan e-pembelajaran sejak tahun 1997. Pada masa itu, sistem tersebut dikenali sebagai sistem pembelajaran maya dengan setiap fakulti di UTM mempunyai laman pembelajaran maya yang dikendalikan sendiri oleh pihak fakulti. Pembelajaran maya pada masa tersebut sebenarnya cuma merupakan laman web yang membenarkan pelajar mengakses silabus, memuat turun nota kuliah dan mengakses lain-lain bahan pengajaran melalui pautan yang disediakan. Pada masa kini, e-pembelajaran bukan hanya berkaitan dengan proses memuat turun nota kuliah semata-mata malah merangkumi skop yang lebih luas sehingga ianya dilihat berpotensi dalam menggalakkan proses pembelajaran aktif di luar bilik kuliah dan seterusnya menjadi sokongan dan pelengkap kepada proses pembelajaran konvensional.

Bagi meningkatkan penggunaan e-pembelajaran, pada penghujung tahun 2001, UTM mula menyelaraskan penggunaan pembelajaran maya di setiap fakulti dan telah memperolehi sistem pengurusan e-pembelajaran komersil iaitu WebCT. Perisian WebCT merupakan satu sistem pengurusan pembelajaran yang dapat menyediakan pelbagai kemudahan P&P seperti memuat naik dan berkongsi dokumen, membina bahan pengajaran secara elektronik, perbincangan maya, merekod aktiviti pelajar dan berkomunikasi secara maya. Pihak universiti mengharapkan dengan penggunaan sistem yang bersepadu ini proses pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan di samping mempermudahkan pensyarah menggunakan kemudahan e-pembelajaran yang disediakan.

Walau bagaimanapun, setelah digunakan selama hampir tiga tahun, pihak pengurusan dan juga jawatankuasa e-pembelajaran UTM telah memutuskan untuk mencari satu sistem baru bagi bagi menggantikan sistem pengurusan e-pembelajaran WebCT yang telah tamat lesen penggunaannya. Selaras dengan galakan pihak kerajaan terhadap penggunaan perisian sumber terbuka (open source), akhirnya pada tahun 2004, UTM telah memilih satu sistem pengurusan pembelajaran berasaskan sumber terbuka yang dipanggil Moodle™.

Moodle adalah singkatan bagi Modular Object-Oriented Dynamic Learning Environment. Ianya merupakan satu sistem pengurusan pempelajaran yang dibangunkan berasaskan kepada asas pedagogi dan teori pembelajaran yang kukuh dikenali sebagai konstruktivis sosial (Social Constructivist). Pendekatan ini memberi penekanan kepada proses pembelajaran berpusatkan pelajar di mana pelajar harus membangunkan pembelajaran mereka sendiri berdasarkan penemuan dan penerokaan yang dilakukan. Persekitaran pembelajaran yang disokong oleh Moodle juga menekankan kepada pembelajaran (sama ada secara kendiri mahupun secara berkumpulan) menerusi empat fasa kerja yang berikut:

• membina (constructing)
• kolaborasi (collaborating)
• mencipta (creating)
• berkongsi (sharing)

Berdasarkan persekitaran pembelajaran dan juga aktiviti pembelajaran yang disediakan dalam sistem, satu proses pembelajaran yang lebih konstruktif dan aktif dapat disediakan untuk kegunaan pelajar. Ini seterusnya diharapkan dapat menghasilkan pelajar yang bukan sahaja mampu membina kefahaman sendiri serta mencipta idea-idea baru tetapi juga tidak menghadapi masalah untuk berkongsi idea dan bekerja dalam kumpulan. Mereka seterusnya diharapkan mampu berkongsi maklumat yang diperoleh dengan golongan yang memerlukannya iaitu masyarakat.

Tidak seperti pakej perisian LMS komersial, Moodle dibangunkan sebagai sebuah perisian sumber terbuka di bawah pelesenan awam atau GNU. Ini bermakna sebarang pengubahsuaian boleh dilakukan ke atas kod sumbernya mengikut keperluan pengguna selagi pengendali tidak menukar lesen asal atau menjualnya untuk tujuan komersial. Oleh yang demikian, sistem sebegini adalah lebih fleksibel dan mampu memberi impak yang lebih positif terhadap perkembangan penggunaan dan pembangunan e-pembelajaran di UTM.

Diharapkan sistem pengurusan e-pembelajaran yang sedang berkembang di UTM ini akan terus diperkasakan lagi kerana ianya adalah satu wadah yang bermakna untuk pelajar menyuarakan pendapat serta buah pemikiran yang boleh diguna pakai oleh pensyarah ataupun pihak pentadbiran UTM dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang seiring dengan matlamat pendidikan negara.

Sumber: 

Buletin e-pembelajaran@UTM
Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (CTL), UTM Skudai
Edisi 1, Disember 2006 

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More